ANUGERAH SIJIL KECEMERLANGAN PELAJAR JPM CHICAGO

Adalah dimaklumkan bahawa Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar JPM Chicago kepada pelajar yang mencapai kecemerlangan dalam semester pengajian masing-masing telah menjadi tradisi JPM Chicago sejak sekian lama. Amalan ini telah terhenti buat seketika atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Berdasarkan keputusan mesyuarat JPM Chicago pada 14 Disember 2007, JPM Chicago bersetuju untuk menghidupkan semula tradisi penganugerahan Sijil Kecemerlangan ini sebagai satu bentuk pengiktirafan kepada kecemerlangan pelajar di samping motivasi kepada kecemerlangan yang lebih hebat lagi dan berterusan.


Sehubungan itu, Sijil Penghargaan berserta surat rasmi JPM Chicago akan diberikan kepada pelajar yang layak berdasarkan syarat-syarat seperti berikut:
  1. Penganugerahan sijil ini adalah terbuka kepada semua pelajar Malaysia di universiti-universiti seliaan Jabatan Penuntut Malaysia Chicago di semua peringkat pengajian sama ada Ijazah Sarjana Muda, Sarjana atau Kedoktoran.
  2. Terbuka kepada pelajar-pelajar sama ada tajaan kerajaan, badan berkanun, sektor swasta maupun pelajar persendirian.
  3. Memperolehi sekurang-kurangnya GPA 3.8 dan ke atas atau menerima anugerah dekan atau "Dean's list" bagi Ijazah Sarjana Muda atau menerima anugerah dekan atau "Dean's list" bagi Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran bagi semester berkenaan.
  4. Pelajar sendiri menghantar salinan sah transkrip keputusan peperiksaan semester berkenaan sama ada melalui pos, faks atau sisipan email kepada mana-mana pegawai JPM Chicago.
  5. Transkrip berkenaan diterima sebelum atau pada tarikh pendaftaran semula semester berikutnya dan disah serta diperaku oleh JPM Chicago.
  6. Penganugerahan sijil ini bermula pada keputusan peperiksaan bagi Semester Fall 2007. Pertimbangan juga akan diberi bagi Semester Spring 2007.
Pihak JPM Chicago meminta kerjasama semua pelajar yang dikasihi untuk menyampaikan makluman ini kepada semua rakan pelajar Malaysia di universiti masing-masing dan berharap dapat memberikan kerjasama positif ke arah kecemerlangan pelajar Malaysia di luar negara.